Nuffnang Ads

Isnin, 5 Mac 2012

Misteri Volkswagen Kuning

Kisah kali ini berkaitan Volkswagen kuning yang sering kita dengar mengganggu para pemandu malah telah mengakibatkan kemalangan. Volkswagen kuning ini mula mengganggu kenderaan di jalan raya sejak tahun 1956 tetapi ianya tidak kelihatan dengan kerap malah orang ramai masih belum menganggap ia sesuatu yang menakutkan. Kereta Volkswagen kuning yang dikatakan berhantu itu sering mengganggu perjalanan di sekitar lebuhraya Jelapang. Namun ada juga para saksi mendakwa Volkswagen kuning kelihatan di jalan lama Karak. Semenjak lebuhraya Utara Selatan dibina merentasi kawasan yang dinamakan Jelapang kisah kemunculan Volkswagen kuning semakin ketara dengan mengganggu kenderaan yang lalu lalang di situ. 

Cara gangguan Volkswagen Kuning dikatakan muncul secara tiba-tiba dan sekiranya pemandu memotong kereta tersebut ia akan berada di hadapan secara mengejut. Selain itu Volkswagen kuning itu dipandu dengan perlahan dan menghalang pemandu di belakang lalu hilang sabar dan cuba memotong. Ketika memotong barulah para pemandu menyedari bahawa kereta Volkswagen kuning itu tiada pemandu. Ada juga kes di mana Volkswagen kuning itu menentang arus jalan dan cuba melanggari mereka. 

Disebalik kemunculan Volkswagen kuning terdapat kisah terselindung yang telah berlaku. Kisah itu mengenai seorang isteri yang curang telah membunuh suaminya dengan kejam dan kemudian merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya. Roh si suami menyimpan rasa dendam yang membara untuk memiliki semula Volkswagen kuning tersebut. Jika benar Volkswagen kuning berhantu  ini wujud dan pernah dilihat orang maka itu adalah jin bukannya roh si suami yang mati dibunuh.

Walaupun kisah pembunuhan si isteri terhadap suaminya agak meragukan namun kemunculan Volkswagen kuning tidak dapat dinafikan. Tidak kiralah ia berada di lebuhraya Jelapang atau Karak anda disarankan berhati-hati melaluinya pada waktu malam kerana mungkin ia masih lagi berlegar-legar mengganggu para pemandu atau mencari korban yang seterusnya.

Rabu, 22 Februari 2012

Misteri Matianak

Apakah Matianak ini? Matianak adalah sejenis hantu atau golongan jin yang tempat tinggalnya di kawasan paya dan hutan. Dari segi fizikal matianak tidak ada bezanya dengan pontianak ini kerana asal-usulnya sama sahaja. Menurut orang-orang tua matianak ini mempunyai dua cangkuk di belakang badan dan juga juga di depan badannya. Itu memudahkan ia bergayut di pokok dan cangkuk di depan kegunaannya untuk menyambar mangsa.

Asal usul matianak ini adalah seorang perempuan sarat mengandung yang telah kematian suami dan menghitung hari untuk melahirkan anak sulungnya. Akhirnya dia telah mati ketika melahirkan anaknya. Orang kampung bersepakat untuk tidak mengebumikan jenazah perempuan yang mati mengandung itu kerana ianya tidak pernah berlaku dalam sejarah suku kaum mereka. Jadi mayat perempuan yang mati itu telah diletakkan di pokok ara dan telah dibuat seperti para-para di atas pokok untuk meletakkan mayat perempuan tersebut. Kemudian bermulalah kemunculan matianak.

Gangguan matianak kepada manusia dengan cara membuat tangisan bayi, nyanyian mendayu, cakaran di dinding atau pokok serta menjatuhkan daun-daun pucuk muda. Sekiranya kita duduk di bawah pokok dan tiba-tiba banyak daun-daun pucuk muda jatuh maka anda disarankan berhati-hati atau cara mudah iaitu melarikan diri. Matianak juga suka mengganggu perempuan yang bersalin dengan menahan kandungan keluar dari perut ibu. 


Mereka yang mahir dari segi perubatan dan bidan saja yang tahu cara-cara menangani gangguan Matianak. Namun ada juga sesetengah pihak yang membela matianak untuk mendapat kelebihan seperti mahir dalam perubatan dan bermimpi perkara yang akan terjadi keesokan harinya (macam firasat). Dan ada juga yang menggunakan Matianak untuk mengganggu atau menganiaya sesiapa sahaja yang mereka dendam. Diingatkan sebagai orang Islam janganlah sesekali terlibat dalam perkara di atas kerana dalam Islam ianya syirik serta khurafat sama ada untuk si pelakunya ataupun si pemintanya.

Rabu, 1 Februari 2012

Misteri Lagu Gloomy Sunday


Misteri lagu berjudul "Gloomy Sunday" yang dicipta oleh seorang penggubah lagu bernama Reszo Seress yang berketurunan Hungary  masih belum terungkai lagi sehingga ke hari ini. Semuanya bermula pada tahun 1932 di mana Resza Seress berimpian menjadi terkenal dalam dunia muzik di Paris tidak kesampaian kerana semua lagu ciptaannya tidak mendapat perhatian dari penerbit muzik di negara itu. Reszo Seress tidak berputus asa demi mencapai impiannya namun masalah mula timbul apabila tunangnya meminta agar Reszo Seress mencari kerja tetap yang menjamin masa depan.

Pada hari ahad yang bersejarah pertengkaran hebat antara Seress dan tunangnya telah berlaku berhubung kerjayanya mengundang perpisahan di antara mereka disulami dendam dan benci di antara satu sama lain. Selepas pertengkaran tersebut Seress duduk di hadapan piano di rumahnya sambil merenung langit menerusi tingkap. Cuaca yang mendung ketika itu mula bertukar suasana apabila hujan mulai turun. “Ahad yang suram,” Seress berkata sendiri sambil memetik piano dan jarinya mula memainkan melodi seolah-olah mencerminkan kekecewaan yang dirasakan sewaktu berpisah dengan tunangnya. “Ya! Ahad yang suram (Gloomy Sunday)! Itu akan menjadi tajuk lagu baru aku,” kata Suress sendirian dengan gembira. Dia mencapai pensel lalu menulis nota muzik dan selesai menggubah lagu itu dalam masa 30 minit. 

Kemudiannya Seress telah menghantar lagu barunya itu kepada seorang penerbit muzik dan berharap lagu kali ini akan diterima. Beberapa hari kemudian, lagu itu dikembalikan dengan nota penolakan yang mengatakan melodi Gloomy Sunday terlalu menyedihkan dan mereka tidak dapat menerimanya. Seterusnya lagu itu dihantar kepada penerbit lain dan kali ini ia diterima. Penerbit berkenaan memberitahu Seress bahawa lagunya akan diedarkan ke seluruh dunia dan ini cukup menggembirakan Seress. Namun beberapa bulan selepas Gloomy Sunday disiarkan berlaku kejadian aneh yang semuanya dikaitkan dengan lagu berkenaan. Di bawah ini terdapat beberapa insiden yang berkaitan Gloomy Sunday.

Insiden Pertama

Di Berlin, seorang lelaki meminta lagu Gloomy Sunday dimainkan dan kemudian dia kembali ke rumah lalu menembak kepalanya selepas mengadu amat tertekan dengan melodi lagu itu yang sentiasa bermain di dalam fikirannya. 

Insiden Kedua

Seminggu kemudian di bandar sama seorang pembantu kedai wanita ditemui tergantung di rumahnya. Polis yang menyiasat kes itu menemui salinan lagu Gloomy Sunday di dalam bilik tidur gadis itu.

Insiden Ketiga 

Seorang setiausaha muda di New York telah membunuh diri. Pada nota yang ditemui dia meminta agar lagu Gloomy Sunday dimainkan pada hari pengebumiannya. 

Insiden Keempat

Beberapa minggu kemudian seorang lagi penduduk New York berusia 82 tahun membunuh diri dengan melompat dari tingkat tujuh pangsapurinya selepas memainkan lagu Gloomy Sunday dengan piano. Tidak lama kemudian seorang remaja di Rome yang mendengar lagu itu membunuh diri dengan melompat dari jambatan. 

Insiden Kelima

Sebuah akhbar melaporkan kes seorang wanita di utara London yang memainkan lagu berkenaan sebanyak 78 kali tanpa henti di rumahnya sehingga menakutkan dan menaikkan kemarahan jirannya. Mereka mengetuk rumah wanita berkenaan tetapi tiada sebarang jawapan. Mereka akhirnya memecah masuk ke dalam rumah itu dan mendapati wanita berkenaan sudah meninggal dunia. 

Insiden Keenam

Kematian demi kematian aneh yang dikaitkan dengan Gloomy Sunday memaksa pegawai atasan Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melarang lagu itu dimainkan. Keanehan itu turut dirasakan penggubahnya, Seress. Dia kemudiannya telah menulis surat kepada bekas tunangnya agar mereka berbaik semula. Namun beberapa hari kemudian dia menerima berita mengejutkan apabila polis memberitahu tunangnya membunuh diri dengan meminum racun. Di sisi mayatnya salinan lagu Gloomy Sunday ditemui. 

Pada akhir 1930-an, apabila dunia memerangi Adolf Hitler lagu berkenaan telah dilupakan. Salinan lagu ini masih boleh didapati tetapi tidak ramai berani mendengarnya selepas mengetahui sumpahannya. Namun insiden tidak berhenti di situ sahaja apabila beberapa tahun kemudian ianya berlaku sekali lagi.

Insiden Ketujuh

Januari 1968, selepas 35 tahun berlalu kini giliran Reszo Seress menjadi mangsa. Dia gagal membunuh diri dengun terjun dari bangunan. Tidak lama kemudian dia ditemui mati gantung diri dengan menggunakan wayar di hospital.

Insiden Kelapan

Tahun 1997, Billy Mackenzie penyanyi yang merakam lagu Gloomy Sunday pada tahun 1982 juga mati membunuh diri di rumah ayahnya.

Lagu Gloomy Sunday ini juga dijadikan soundtrack dari sebuah filem yang cukup popular ketika itu. Filem itu mempunyai tajuk yang sama dengan lagu tersebut. Filem Gloomy Sunday mengisahkan sebuah hubungan segitiga seorang wanita pemilik restoran di Hungaria. Selain itu ada pihak mendakwa apabila lagu Gloomy Sunday ini dimainkan secara instrumen saja pendengarnya akan tertidur dan mengalami mimpi buruk. Di negara asal Reszo Seress iaitu Hungaria telah melarang keras lagu Gloomy Sunday disiarkan kerana telah meyebabkan peningkatan kes bunuh diri di negara tersebut. Kini lagu Gloomy Sunday mempunyai pelbagai versi dan penyanyi yang mendendangkan lagu itu namun tiada siapa mahu mendengar lagu asal Gloomy Sunday ini kerana takut akan sumpahannya.


Lirik lagu Gloomy Sunday

Sunday is gloomy
My hours are slumberless
Dearest the shadows
I live with are numberless
Little white flowers
Will never awaken you
Not where the black coaches
Sorrow has taken you
Angels have no thoughts
Of ever returning you
Wouldn’t they be angry
If I thought of joining you?
Gloomy sunday
Gloomy is sunday
With shadows I spend it all
My heart and I have decided
To end it all
Soon there’ll be candles and prayers
That are said I know
But let them not weep
Let them know
That I’m glad to go
Death is no dream
For in death I’m caressi’n you
With the last breath of my soul
I’ll be blessin’ you
Gloomy sunday
Dreaming
I was only dreaming
I wake and I find you asleep
In the deep of my heart here
Darling I hope
That my dream never haunted you
My heart is tellin’ you
How much I wanted you
Gloomy sunday








Sabtu, 28 Januari 2012

Misteri Qarin

Mungkin ada yang pernah dengar mengenai Qarin dan mungkin juga ada di antara kita belum pernah mendengarnya. Apakah sebenarnya Qarin? Qarin adalah makhluk ghaib atau jin yang sentiasa mendampingi kita malah ia sebenarnya berpengaruh dengan amalan seseorang itu contohnya sekiranya baik amalan kita baiklah dia dan sekiranya buruk amalan kita buruklah jadinya. Tahukah anda setiap manusia dilahirkan dengan kembar masing-masing? Setiap kali selepas ibu kita bersalin, si ayah akan membasuh uri dan menurut kata orang-orang tua itu adalah kembar kita. Sebenarnya kembar yang dimaksudkan itu dipanggil sebagai Qarin. Di sebelah kanan kita ialah Malaikat yang akan menyuruh kita membuat perkara-perkara baik manakala Qarin kita akan berada di sebelah kiri dan mengajak kita membuat perkara-perkara yang jahat. Nabi kita juga ada Qarin namanya "Habibul Huda" menurut kata orang Kasf ia masih hidup lagi di kota Madinah.

Dikatakan semua Qarin ini lambat mati. Ada sesetengah kes yang berlaku sebelum manusia mati lagi Qarin sudah mengelirukan orang lain. Contohnya, si isteri yang baru balik dari membeli-belah melihat si suami sedang tidur di dalam bilik. Tidak lama kemudian pintu rumah diketuk lalu si isteri membuka pintu dan terkejut apabila melihat suaminya baru sahaja pulang dari kerja. Kes ini adalah perbuatan Qarin.

Terdapat lagi kisah penemuan Qarin dan ini melibatkan seorang ustaz di mana malam itu beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bangi. Dalam perjalanan, dia bertembung dengan seorang gadis berpayung di dalam hujan gerimis. Ustaz ini telah menghentikan kereta lalu menumpangkan gadis itu balik ke rumah. Sepanjang perjalanan gadis itu memberitahu bahawa dia seorang pelajar UKM semester dua kebetulan pula Ustaz ini mengajar di UKM. Sebaik sahaja sampai di destinasi gadis tersebut berpesan supaya selepas ini jangan datang ke rumah kerana ibunya tidak suka lelaki datang. Keesokan harinya ustaz tersebut menyedari gadis semalam tertinggal payung di dalam keretanya. Ustaz itu telah pergi ke rumah gadis tersebut dan apabila tiba di sana hanya ibunya saja yang ada di rumah. Ustaz itu pun bertanya mengenai anaknya dan memberitahu payungnya telah tertinggal. Ibu gadis itu terkejut dan memberitahu bahawa gadis itu memang pelajar UKM semester 2 dan tinggal di situ tapi telah meninggal dunia dua tahun yang lalu.

Sekiranya anda pernah mengalami peristiwa seperti di atas, anda jangan terkejut kerana apa yang anda jumpa itu adalah Qarin seseorang yang telah meninggal dunia. Qarin ini akan mengulangi saat-saat kematian seseorang malah Qarin akan memakai pakaian yang serupa. Contohnya jika seseorang mati dilanggar kereta ketika sedang menahan teksi, Qarin juga akan dilihat sedang menahan kereta mengulangi situasi sebelum seseorang itu mati. Untuk itu jangan takut kerana setiap makhluk di muka bumi ini tak kira jin, syaitan atau Qarin semuanya adalah makhluk Allah belaka.

Untuk orang beragama Islam anda disarankan sebelum memulakan sesuatu pekerjaan jangan lupa membaca: "A'uzubillahiminasyaitonirrajim". Buat kita yang masih hidup pula perbanyakanlah amalan kebaikan supaya kita dapat mendidik Qarin kita untuk turut membuat kebaikan dan akhirnya tidak berupaya menyuruh kita membuat kejahatan.



Misteri Bigfoot

Bigfoot yang bermaksud kaki besar adalah makhluk misteri bersaiz gergasi yang masih di bawah kajian dan penyelidikan sehingga kini. Dikatakan makhluk tersebut masih hidup dan menetap di kawasan pergunungan salji antaranya di Amerika Syarikat dan gunung Himalaya China malah sesetengah pihak percaya makhluk ini boleh didapati di seluruh dunia.


Kewujudannya tidak hanya di sesebuah negara yang telah membuktikan bahawa mitos tentangnya bukanlah lagenda bagi sesuatu kaum sahaja. Makhluk besar berbulu seperti manusia kacukan monyet ini dikatakan bersembunyi di hutan atau wilayah yang sukar diterokai oleh manusia. Ini menunjukkan makhluk misteri ini berniat menjauhkan diri daripada manusia. Terdapat pelbagai nama gelaran Bigfoot di beberapa buah negara antaranya :

1. Bigfoot, Sasquatch (Amerika Utara)
2. Kaptar, Biabin-Guli, Grendel, Ferla Mohir, Brenin Ilwyd (Eropah)
3. Ngoloko, Kikomba (Afrika)
4. Yeren (China)
5. Yowie (Australia)
6. Mapinguari (Amazon Amerika Selatan)
7. Yeti, Mawas (Asia)


Ramai yang mendakwa telah terserempak dengan Bigfoot dan mengatakan makhluk itu bertubuh besar, memiliki gigi yang besar, mata berwarna merah, bulunya berwarna perang gelap atau merah kehitaman dan meliputi seluruh badan. Sesetengah saksi juga melihat makhluk berbulu seperti seekor gorila dan mempunyai ketinggian 7 hingga 8 kaki. Bigfoot dikatakan tidak menyerang manusia atau mengganggu manusia sebaliknya akan melarikan diri jika terserempak dengan manusia malah sering berpindah kawasan sekiranya kewujudannya disedari oleh manusia. Ia hanya makan pucuk kayu muda dan akan menggosokkan badannya pada batang pokok untuk menghilang kegatalan pada tubuh. Bigfoot yang dikenali sebagai Mawas, Orang utan, Hantu Gigi Jarang dan Siamang di kalangan masyarakat Orang Asli Johor mendakwa Bigfoot hidup dalam berkumpulan seperti satu keluarga yang dianggotai oleh ayah, ibu dan anak. Kebanyakkan penemuan untuk membuktikan kewujudan makhluk ini adalah dengan penemuan kesan tapak kaki, helaian bulu dan kesan kerosakan hutan yang dilakukan oleh makhluk misteri ini.

Kisah terawal tentang Bigfoot mula dilaporkan pada tahun 1811 apabila seorang juruukur Kanada mendakwa menemui tapak kaki yang sangat besar di Jasper, Kanada dan dipercayai ianya milik makhluk yang belum dikenalpasti oleh dunia. Gelaran Bigfoot kemudiannya digunakan secara meluas oleh media selepas wujud satu lagi penemuan di Bluff Creek, California pada tahun 1959. Selain itu terdapat gambar dan rakaman video Bigfoot paling terkenal diambil pada 1967 oleh Roger Patterson & Bob Gimlin di California Utara, Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, keaslian bukti itu masih dibincang sehingga kini.

Pelbagai pendapat dikemukakan tentang makhluk ini dengan menyatakan makhluk itu mungkin sejenis monyet gergasi prasejarah yang hidup ketika zaman Pertengahan Pleistocene. Monyet raksaksa itu dipercayai hidup di beberapa kawasan asia termasuk China dan Asia Tenggara serta Amerika Utara sejak zaman purba sebelum pupus daripada muka bumi sekitar 200,000 hingga 500,000 tahun dulu.


Di bawah ini terdapat beberapa fakta mengenai penemuan Bigfoot.

Tahun 1884, akhbar British Columbia iaitu 'Daily British Colonist' telah menyiarkan penangkapan seekor beruk pelik yang diberi nama 'Jacko'.

Tahun 1924, Albert Ostman mendakwa telah dikurung oleh sekumpulan "Sasquatch" selama enam hari. Ostman hanya berjaya melarikan diri apabila makhluk misteri itu sakit akibat termakan tembakau yang dibawa oleh beliau. Walaupun cerita beliau telah disiasat dan ditanya berulang kali oleh pihak tertentu, beliau tetap dengan pendiriannya dengan cerita yang sama.

Tahun 1930, seorang penulis British-Columbia yang terkenal iaitu J.W Burns telah menulis sebuah buku mengenai Bigfoot yang disifatkan sebagai seorang manusia Indians yang berbulu dan bersaiz gergasi.

Tahun 1958, operator jentolak bernama Jerry Crew telah menjumpai sepasang tapak kaki besar mirip manusia di Willow Creek, California.

Tahun 1967, Roger Patterson & Bob Gimlin telah terserempak dengan seekor Bigfoot betina yang sedang mencari ikan berhampiran sungai di situ. Mereka telah menghampiri makhluk tersebut dengan senyap dan Patterson telah berjaya merakamkan aksi makhluk tersebut yang dianggarkan berketinggian lebih 7 kaki dengan berat sekitar 700 paun. Kesan tapak kaki makhluk tersebut dikatakan beukuran 14 inci panjang dan 6 inci lebar. Kemudiannya satu kajian khas 'frame by frame' telah dilakukan oleh penyiasat khas ke atas filem ini. Setiap latar dan dan pergerakan Bigfoot betina itu dikaji dengan terperinci. Hasilnya mereka tidak dapat memberi jawapan yang tepat namun pergerakan Bigfoot itu ternyata bergerak dalam keadaan logik dengan menampung badannya yang berat.

Pelbagai lagi penemuan lain telah dilaporkan cuma kebanyakan laporan itu tidaklah sehebat penemuan yang dibuat oleh Roger Patterson & Bob Gimlin. Walaupun begitu, sehingga kini kewujudan Bigfoot masih belum dapat dibuktikan secara sahih. Di negara kita sendiri juga saja ada laporan mengenai penemuan bigfoot direkodkan di hutan Kota Tinggi, Johor pada akhir tahun 2005. Bigfoot tidak pernah ditemui secara bersemuka tapi mengapa mitos dan legenda mengenai makhluk serupa gorila besar ini muncul di pelbagai negara serta kebudayaan yang berbeza? Walaupun sudah banyak cerita, gambar dan tapak kaki mereka dijumpai namun setakat ini belum ada bukti kukuh bahawa Bigfoot benar-benar wujud disebabkan tiada lagi penemuan tulang-tulang malah mayat mereka. 

Sehingga kini, masih tiada penemuan sebenar tentang makhluk itu menyebabkan fakta-fakta berkenaan Big Foot menjadi salah satu misteri dunia yang belum terungkap. Kajian dan pemburuan untuk membongkar misteri kewujudan Bigfoot masih giat diteruskan dari pelbagai pihak sehingga kini. Mungkin pada masa akan datang misteri ini akan terjawab ataupun Bigfoot akan terus kekal misteri sepanjang zaman.








Jumaat, 27 Januari 2012

Misteri Chupacabra

Nama makhluk misteri Chupacabra telah diberikan oleh seorang lelaki bernama Silverio Perez. "Chupa" bermaksud penghisap/menghisap manakala "Cabra" bermaksud kambing. Ia diberi nama sedemikian disebabkan kebanyakan mangsanya adalah ternakan kambing pada awal kemunculannya. Chupacabra telah muncul di sekitar beberapa negara seperti Amerika Selatan, Puerto Rico, Mexico dan kemudiannya merebak ke beberapa negara lain. Laporan pertama yang membabitkan kes Chupacabra di Puerto Rico pada bulan Mac pada tahun 1995. Laporan itu menyebut lapan ekor kambing ditemui mati akibat kekeringan darah dalam badan seolah-olah disedut oleh "sesuatu". Di setiap bangkai kambing itu juga terdapat tiga lubang kecil namun ianya tidak berdarah.

Menurut saksi, Chupacabra dikatakan kelihatan seperti makhluk asing kecil, berdiri 3 hingga 5 kaki tinggi dan mempunyai sepasang kaki seperti kanggaru. Chupacabra berjalan tegak seperti manusia malah boleh melompat seperti kanggaru serta mempunyai kebolehan untuk terbang untuk jarak yang pendek. Ia mempunyai duri-duri tajam yang besar atau tanduk di sepanjang belakang badan mereka. Mata Chupacabra pula dikatakan sangat besar, bersinar dan berwarna merah. 

Di bawah ini terdapat sebahagian laporan penemuan yang berkaitan Chupacabra.

Laporan Pertama

Julai 2004, seorang penternak di San Antonio, Texas melaporkan telah membunuh makhluk menyerupai anjing yang telah menyerang ternakannya. Dia telah menyebut makhluk tersebut sebagai “Elmendorf Beast”. Namun ujian DNA yang dilakukan Universiti California mengatakan bahawa makhluk tersebut adalah seekor Coyote (spesis serigala) yang mengalami penyakit kurap yang teruk. Di Coleman, Texas, seorang penternak bernama Reggie Lagow menangkap seekor haiwan yang menyerang ternakan ayamnya. Dia mengatakan bahawa haiwan tersebut seakan-akan gabungan anjing yang tidak berbulu, tikus dan kanggaru.

Laporan Kedua

April 2006, MosNews melaporkan Chupacabra muncul di Rusia untuk pertama kali. Laporan tersebut menyebut makhluk aneh telah menyerang ayam belanda dan menghisap darahnya sehingga kering. Tidak lama kemudian laporan berikutnya datang dari sebuah desa yang mengatakan sebanyak 30 ekor kambing biri-biri mati akibat yang sama.

Laporan Ketiga

Ogos 2006, Michelle O’Donnel dari Maine, Amerika melaporkan telah menemui seekor makhluk bertaring yang menakutkan mati di tepi jalan. Namun siasatan terhadap bangkai tersebut tidak dapat dikenalpasti kerana sebahagian bangkai tersebut dilanggar kereta. Setelah diambil gambar mereka meneliti haiwan tersebut tidak menyamai anjing atau serigala di kawasan itu.

Laporan Keempat

Mei 2007, laporan berita National Columbia menyebut lebih dari 300 ekor kambing biri-biri ditemui mati di daerah Boyoca. Kemungkinan besar ia dilakukan oleh Chupacabra.

Laporan Kelima

Ogos 2007, Phylis Canion menemui tiga bangkai makhluk di Cuero,Texas. Dia mengambil gambar lalu memotong salah satu kepala bangkai dan membekukannya lalu dihantar untuk ujian DNA. Ujian DNA tersebut mengatakan ia adalah Coyote yang dijangkiti kurap yang mengakibatkan kulit mereka berwarna kelabu, kehilangan semua bulu badan serta terserlah taring yang besar.

Laporan Keenam

Januari 2008, Chupacabra dilaporkan muncul di Capiz, Filipina. Beberapa penduduk di situ percaya Chupacabra telah membunuh lapan ekor ayam. Pemilik ayam tersebut mendakwa melihat seekor haiwan menyerupai anjing yang telah menyerang ternakan ayamnya.

Laporan Ketujuh

Ogos 2008, syerif bernama Brandon Riedel merekod seekor haiwan yang tidak dikenali di sepanjang jalan Cuero, Texas melalui kamera yang berada di dalam keretanya. Haiwan tersebut mempunyai saiz Coyote namun tidak mempunyai bulu. Ia juga memiliki muncung yang panjang, kaki depan kelihatan pendek dan kaki belakang yang panjang. Pihak atasan Brandon Riedel iaitu Jode Zavesky percaya bahawa kemungkinan ia adalah salah satu spesis Coyote yang telah dikenalpasti oleh para pengkaji Texas State University-San Marcos pada November 2007.

Seterusnya pelbagai lagi penemuan mengenai Chupacabra telah dilaporkan tahun demi tahun namun hasilnya tetap sama iaitu ianya seekor anjing atau Coyote dijangkiti kurap yang teruk. Baru-baru ini misteri mengenai Chupacabra telah terjawab apabila seorang ahli biologi, Barry O'Connor dari Universiti Of Michigan mengatakan Chupacabra disahkan sebagai seekor anjing yang dijangkiti kurap. Penyakit itu menyebabkan perubahan fizikal yang agak ketara seperti kehilangan bulu badan, kulit berwarna kelabu, gigi taring yang agak menonjol serta rupa yang agak menakutkan. Namun timbul keraguan di sini di mana saksi penemuan asal Chupacabra serta penemuan sehingga kini sangat berbeza dari segi bentuk fizikal, cara memakan mangsa dan beberapa perbezaan yang lain. 

Selain itu terdapat pelbagai teori mengenai Chupacabra adakalanya tidak masuk akal antaranya Chupacabra dikaitkan dengan Gargoyle iaitu sebagai roh atau semangat jahat. Selain itu Chupacabra dikatakan terhasil daripada perubahan genetik setelah menghidu kebocoran bahan kimia sebuah makmal di Puerto Rico sekitar tahun 1990-an. Ada juga yang mendakwa Chupacabra adalah seekor kelawar raksasa malah Chupacabra dikatakan haiwan peliharaan makhluk asing yang dilepaskan di Bumi.

Mengikut kesimpulan di atas misteri Chupacabra masih belum lagi diselesaikan.....



Khamis, 26 Januari 2012

Misteri Sulur Bidar

Sulur Bidar merupakan makhluk misteri yang popular diceritakan oleh kaki pancing dan orang-orang lama. Sulur Bidar ni dikatakan ditemui di sekitar tasik dan sungai besar seluruh Malaysia antaranya Tasik Kenyir, Tasik Banding  Royal Belum, Tasik Chini dan Sungai Pahang. Tasik Kenyir contohnya, Sulur Bidar sering dikatakan akan muncul semasa musim hujan. Nama lain Salur Bidar turut dikenali sebagai Hantu Balung Bidai.

Menurut cerita orang-orang di sekitar tasik Sulur Bidar mempunyai bentuk fizikal yang aneh iaitu berbentuk sehelai permaidani atau tikar putih. Selain itu terdapat empat kepala di setiap penjuru. Sulur Bidar dikatakan akan menggulung mangsa lalu menariknya ke dalam air selama beberapa hari.

kedatangannya dapat dikesan melalui buih-buih atau pusaran yang muncul secara tiba-tiba bersama dengan daun-daun yang berada di dasar tasik timbul di permukaan air. Daun-daun yang timbul tadi apabila diambil ianya kering walaupun muncul dari dasar tasik seolah-olah ada "sesuatu" yang telah memerah atau mengeringkan daun tersebut. Menurut orang-orang tua daun yang timbul tadi boleh dibakar walaupun ia dari   dasar tasik. Sekiranya tanda-tanda tersebut telah muncul anda disarankan melaungkan azan dengan kuat untuk menghindarkan diri dari makhluk tersebut.

Terdapat cerita mengenai seorang pemancing yang terserempak Sulur Bidar lalu cuba membaling mata kail ke arahnya namun ia menembusi badan makhluk tersebut. Kebenaran makhluk ini belum dapat dibuktikan secara saintifik walaupun ada yang mendakwa pernah menangkap gambarnya.

Sulur Bidar mempunyai pelbagai versi, penemuan serta pandangan yang berbeza. Di bawah ini beberapa versi yang akan diketengahkan.




Versi Pertama

Sulur Bidar dikatakan berbentuk tikar putih, mempunyai kepala seakan-akan labi-labi di setiap penjuru dan mempunyai kaki kecil seperti ulat gonggok yang banyak di sekelilingnya.

Versi Kedua

Ada sesetengah berpendapat Sulur Bidar merupakan haiwan seperti ular besar yang menjalar di atas air dan ada juga mengatakan ia mempunyai kepala yang bulat serta rambut dipenuhi ular berbisa.

Versi Ketiga

Sulur Bidar dikatakan adalah seekor ular besar (Ular Bidang) yang berbentuk leper seperti permaidani yang berukuran 4 meter x 4 meter.

Versi Keempat

Sulur Bidar yang ditemui Red Indian kelihatan seperti minyak beku terapung di permukaan air yang  dapat melemaskan mangsa serta mampu memasuki lubang bot untuk menangkap mangsa.

Versi Kelima

Sulur Bidar merupakan makhluk halus dalam kepercayaan orang Melayu. Kemungkinan ia terdiri daripada jin atau syaitan yang suka mengganggu manusia. Ia juga dikatakan semangat jahat yang tinggal di dalam air. Ia menyerupai tikar mengkuang yang hanyut dan akan menggulung serta melemaskan mangsanya.

Versi Keenam

Masyarakat Sunda menggelar Sulur Bidar sebagai Leled Samak. Leled bermaksud menggulung manakala samak bermaksud tikar. Kepercayaan mereka mengatakan Leled Samak bermula apabila tikar bekas alas memandikan jenazah telah dibuang ke dalam sungai yang kemudiannya diserap oleh makhluk halus penunggu sungai.


Maka secara ringkasnya Sulur Bidar merupakan makhluk sangat misteri yang belum lagi menemui jawapannya. Begitu banyak pendapat, pandangan dan penemuan namun sehingga kini soalan yang belum lagi terjawab iaitu apakah sebenarnya Sulur Bidar?








Misteri Ningen

Baru-baru ini rakyat Jepun gempar dengan kewujudan "Ningen" yang dikatakan makhluk berupa manusia telah dijumpai menghuni perairan ais Antartika. Ianya dilaporkan beberapa kali oleh anggota dan kelasi kapal yang melakukan “penyelidikan ikan paus” di sana.

Menurut saksi badan Ningen keseluruhannya berwarna putih dengan panjang sekitar 20 hingga 30 meter. Ia dikatakan memiliki bentuk fizikal seakan-akan manusia. Itu disebabkan Ningen dilihat mempunyai kaki, lengan, malah ada lima jari di tangan. Sesetengah pihak pula mendakwa melihat Ningen mempunyai sirip seperti ekor  ikan duyung dan tidak mempuyai kaki. Selain itu Ningen juga mempunyai pancaindera di wajah seperti mata dan mulut.

Menurut sumber, anggota kapal melihat objek dari jauh seakan-akan kapal selam. Ketika mereka menghampiri objek tersebut ia bukannya kapal selam tetapi makhluk seakan-akan menusia lalu ia menyelam ke dalam air dengan cepat. 

Secara ringkasnya misteri Ningen masih baru diketengahkan dan ianya menjadi keraguan mana-mana pihak. Ada yang beranggapan kewujudan Ningen ini sebagai lagenda. Tiada sebarang maklumat mengenai Ningen dibincangkan selepas pendedahan para saksi malah tiada juga langkah-langkah pengawasan dari pihak kerajaan dengan kewujudan Ningen. Sama ada pihak kerajaan tidak berminat mengenai isu Ningen ataupun terdapat rahsia mengenai Ningen yang kerajaan tidak ingin dedahkan kepada umum. Ini kerana semua pihak masih berdiam diri mengenai isu Ningen. 

Tetapi yang pasti misteri Ningen masih belum terungkai walaupun sesetengah pihak menganggap Ningen itu tidak wujud malah sehingga kini tiada bukti kukuh yang mengesahkan kewujudan Ningen. Kita harapkan isu sebenar Ningen akan diketengahkan oleh pihak tertentu pada masa akan datang demi menjawab persoalan sama ada makhluk misteri bernama Ningen ini benar-benar wujud atau hanya rekaan semata-mata.



Misteri Potret


Sebelum kita mengetahui lebih lanjut mengenai potret ini marilah kita mengenali siapakah gerangan wanita cantik di dalam potret ini dahulu. Wanita cantik ini dikatakan berasal dari Vietnam telah membunuh diri disebabkan suaminya bernama Pham Duc Nong telah curang terhadapnya. Sebaik sahaja kematian isterinya Pham Duc Nong telah mengurungkan diri di dalam rumah lalu menghasilkan sebuah potret wajah isterinya. Setelah siap hasil lukisannya Pham Duc Nong telah membunuh diri dengan terjun dari tempat tinggi. Masa berlalu kini potret tersebut seolah-olah berpuaka dan beberapa insiden telah berlaku yang berkaitan dengan potret ini sama ada ianya benar-benar berkaitan ataupun hanya satu kebetulan sahaja. Di bawah ini terdapat beberapa insiden yang berkaitan dengan potret ini.

Insiden Pertama

Kes ini melibatkan seorang anggota polis yang menyiasat kematian Pham Duc Nong serta melihat potret tersebut. Malam tersebut polis itu telah membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri. 

Insiden Kedua

Setelah kematian polis tersebut seorang petugas yang bertanggugjawab menyimpan potret di stor balai polis turut membunuh dirinya sendiri dengan terjun ke dalam sungai.

Insiden Ketiga

Pegawai dari luar negara telah membeli potret tersebut lalu menyimpan di dalam rumahnya. Insiden sekali berlaku apabila malam itu pegawai itu telah membunuh diri dengan menelan pil tidur secara berlebihan. Dia telah meninggalkan notis yang mengatakan dia terlalu sedih apabila menatap potret tersebut dan penyelesaian terbaik menghilangkan perasaan sedih tersebut hanyalah membunuh diri.

Insiden Keempat

Setelah kematian pegawai tersebut pembantu rumahnya turut melihat potret tersebut. Dia menjadi kurang waras, mencakar muka sendiri serta menyorok di dalam selimut setiap hari sambil menjerit "seseorang" datang. Dia akhirnya menemui ajal selepas 3 bulan mengalami penderitaan. Misteri bertambah lagi apabila teman lelaki pembantu rumah tersebut merupakan seorang pelukis juga telah membunuh diri. Nama pelukis tersebut adalah Pham Duc Nong.

Setelah membaca beberapa insiden di atas ada sesiapa yang berani menatap potret ini?