Mungkin ada yang pernah dengar mengenai Qarin dan mungkin juga ada di antara kita belum pernah mendengarnya. Apakah sebenarnya Qarin? Qarin adalah makhluk ghaib atau jin yang sentiasa mendampingi kita malah ia sebenarnya berpengaruh dengan amalan seseorang itu contohnya sekiranya baik amalan kita baiklah dia dan sekiranya buruk amalan kita buruklah jadinya. Tahukah anda setiap manusia dilahirkan dengan kembar masing-masing? Setiap kali selepas ibu kita bersalin, si ayah akan membasuh uri dan menurut kata orang-orang tua itu adalah kembar kita. Sebenarnya kembar yang dimaksudkan itu dipanggil sebagai Qarin. Di sebelah kanan kita ialah Malaikat yang akan menyuruh kita membuat perkara-perkara baik manakala Qarin kita akan berada di sebelah kiri dan mengajak kita membuat perkara-perkara yang jahat. Nabi kita juga ada Qarin namanya "Habibul Huda" menurut kata orang Kasf ia masih hidup lagi di kota Madinah.
Dikatakan semua Qarin ini lambat mati. Ada sesetengah kes yang berlaku sebelum manusia mati lagi Qarin sudah mengelirukan orang lain. Contohnya, si isteri yang baru balik dari membeli-belah melihat si suami sedang tidur di dalam bilik. Tidak lama kemudian pintu rumah diketuk lalu si isteri membuka pintu dan terkejut apabila melihat suaminya baru sahaja pulang dari kerja. Kes ini adalah perbuatan Qarin.
Terdapat lagi kisah penemuan Qarin dan ini melibatkan seorang ustaz di mana malam itu beliau sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bangi. Dalam perjalanan, dia bertembung dengan seorang gadis berpayung di dalam hujan gerimis. Ustaz ini telah menghentikan kereta lalu menumpangkan gadis itu balik ke rumah. Sepanjang perjalanan gadis itu memberitahu bahawa dia seorang pelajar UKM semester dua kebetulan pula Ustaz ini mengajar di UKM. Sebaik sahaja sampai di destinasi gadis tersebut berpesan supaya selepas ini jangan datang ke rumah kerana ibunya tidak suka lelaki datang. Keesokan harinya ustaz tersebut menyedari gadis semalam tertinggal payung di dalam keretanya. Ustaz itu telah pergi ke rumah gadis tersebut dan apabila tiba di sana hanya ibunya saja yang ada di rumah. Ustaz itu pun bertanya mengenai anaknya dan memberitahu payungnya telah tertinggal. Ibu gadis itu terkejut dan memberitahu bahawa gadis itu memang pelajar UKM semester 2 dan tinggal di situ tapi telah meninggal dunia dua tahun yang lalu.
Sekiranya anda pernah mengalami peristiwa seperti di atas, anda jangan terkejut kerana apa yang anda jumpa itu adalah Qarin seseorang yang telah meninggal dunia. Qarin ini akan mengulangi saat-saat kematian seseorang malah Qarin akan memakai pakaian yang serupa. Contohnya jika seseorang mati dilanggar kereta ketika sedang menahan teksi, Qarin juga akan dilihat sedang menahan kereta mengulangi situasi sebelum seseorang itu mati. Untuk itu jangan takut kerana setiap makhluk di muka bumi ini tak kira jin, syaitan atau Qarin semuanya adalah makhluk Allah belaka.
Untuk orang beragama Islam anda disarankan sebelum memulakan sesuatu pekerjaan jangan lupa membaca: "A'uzubillahiminasyaitonirrajim". Buat kita yang masih hidup pula perbanyakanlah amalan kebaikan supaya kita dapat mendidik Qarin kita untuk turut membuat kebaikan dan akhirnya tidak berupaya menyuruh kita membuat kejahatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan