Nuffnang Ads

Sabtu, 28 Januari 2012

Misteri Bigfoot

Bigfoot yang bermaksud kaki besar adalah makhluk misteri bersaiz gergasi yang masih di bawah kajian dan penyelidikan sehingga kini. Dikatakan makhluk tersebut masih hidup dan menetap di kawasan pergunungan salji antaranya di Amerika Syarikat dan gunung Himalaya China malah sesetengah pihak percaya makhluk ini boleh didapati di seluruh dunia.


Kewujudannya tidak hanya di sesebuah negara yang telah membuktikan bahawa mitos tentangnya bukanlah lagenda bagi sesuatu kaum sahaja. Makhluk besar berbulu seperti manusia kacukan monyet ini dikatakan bersembunyi di hutan atau wilayah yang sukar diterokai oleh manusia. Ini menunjukkan makhluk misteri ini berniat menjauhkan diri daripada manusia. Terdapat pelbagai nama gelaran Bigfoot di beberapa buah negara antaranya :

1. Bigfoot, Sasquatch (Amerika Utara)
2. Kaptar, Biabin-Guli, Grendel, Ferla Mohir, Brenin Ilwyd (Eropah)
3. Ngoloko, Kikomba (Afrika)
4. Yeren (China)
5. Yowie (Australia)
6. Mapinguari (Amazon Amerika Selatan)
7. Yeti, Mawas (Asia)


Ramai yang mendakwa telah terserempak dengan Bigfoot dan mengatakan makhluk itu bertubuh besar, memiliki gigi yang besar, mata berwarna merah, bulunya berwarna perang gelap atau merah kehitaman dan meliputi seluruh badan. Sesetengah saksi juga melihat makhluk berbulu seperti seekor gorila dan mempunyai ketinggian 7 hingga 8 kaki. Bigfoot dikatakan tidak menyerang manusia atau mengganggu manusia sebaliknya akan melarikan diri jika terserempak dengan manusia malah sering berpindah kawasan sekiranya kewujudannya disedari oleh manusia. Ia hanya makan pucuk kayu muda dan akan menggosokkan badannya pada batang pokok untuk menghilang kegatalan pada tubuh. Bigfoot yang dikenali sebagai Mawas, Orang utan, Hantu Gigi Jarang dan Siamang di kalangan masyarakat Orang Asli Johor mendakwa Bigfoot hidup dalam berkumpulan seperti satu keluarga yang dianggotai oleh ayah, ibu dan anak. Kebanyakkan penemuan untuk membuktikan kewujudan makhluk ini adalah dengan penemuan kesan tapak kaki, helaian bulu dan kesan kerosakan hutan yang dilakukan oleh makhluk misteri ini.

Kisah terawal tentang Bigfoot mula dilaporkan pada tahun 1811 apabila seorang juruukur Kanada mendakwa menemui tapak kaki yang sangat besar di Jasper, Kanada dan dipercayai ianya milik makhluk yang belum dikenalpasti oleh dunia. Gelaran Bigfoot kemudiannya digunakan secara meluas oleh media selepas wujud satu lagi penemuan di Bluff Creek, California pada tahun 1959. Selain itu terdapat gambar dan rakaman video Bigfoot paling terkenal diambil pada 1967 oleh Roger Patterson & Bob Gimlin di California Utara, Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, keaslian bukti itu masih dibincang sehingga kini.

Pelbagai pendapat dikemukakan tentang makhluk ini dengan menyatakan makhluk itu mungkin sejenis monyet gergasi prasejarah yang hidup ketika zaman Pertengahan Pleistocene. Monyet raksaksa itu dipercayai hidup di beberapa kawasan asia termasuk China dan Asia Tenggara serta Amerika Utara sejak zaman purba sebelum pupus daripada muka bumi sekitar 200,000 hingga 500,000 tahun dulu.


Di bawah ini terdapat beberapa fakta mengenai penemuan Bigfoot.

Tahun 1884, akhbar British Columbia iaitu 'Daily British Colonist' telah menyiarkan penangkapan seekor beruk pelik yang diberi nama 'Jacko'.

Tahun 1924, Albert Ostman mendakwa telah dikurung oleh sekumpulan "Sasquatch" selama enam hari. Ostman hanya berjaya melarikan diri apabila makhluk misteri itu sakit akibat termakan tembakau yang dibawa oleh beliau. Walaupun cerita beliau telah disiasat dan ditanya berulang kali oleh pihak tertentu, beliau tetap dengan pendiriannya dengan cerita yang sama.

Tahun 1930, seorang penulis British-Columbia yang terkenal iaitu J.W Burns telah menulis sebuah buku mengenai Bigfoot yang disifatkan sebagai seorang manusia Indians yang berbulu dan bersaiz gergasi.

Tahun 1958, operator jentolak bernama Jerry Crew telah menjumpai sepasang tapak kaki besar mirip manusia di Willow Creek, California.

Tahun 1967, Roger Patterson & Bob Gimlin telah terserempak dengan seekor Bigfoot betina yang sedang mencari ikan berhampiran sungai di situ. Mereka telah menghampiri makhluk tersebut dengan senyap dan Patterson telah berjaya merakamkan aksi makhluk tersebut yang dianggarkan berketinggian lebih 7 kaki dengan berat sekitar 700 paun. Kesan tapak kaki makhluk tersebut dikatakan beukuran 14 inci panjang dan 6 inci lebar. Kemudiannya satu kajian khas 'frame by frame' telah dilakukan oleh penyiasat khas ke atas filem ini. Setiap latar dan dan pergerakan Bigfoot betina itu dikaji dengan terperinci. Hasilnya mereka tidak dapat memberi jawapan yang tepat namun pergerakan Bigfoot itu ternyata bergerak dalam keadaan logik dengan menampung badannya yang berat.

Pelbagai lagi penemuan lain telah dilaporkan cuma kebanyakan laporan itu tidaklah sehebat penemuan yang dibuat oleh Roger Patterson & Bob Gimlin. Walaupun begitu, sehingga kini kewujudan Bigfoot masih belum dapat dibuktikan secara sahih. Di negara kita sendiri juga saja ada laporan mengenai penemuan bigfoot direkodkan di hutan Kota Tinggi, Johor pada akhir tahun 2005. Bigfoot tidak pernah ditemui secara bersemuka tapi mengapa mitos dan legenda mengenai makhluk serupa gorila besar ini muncul di pelbagai negara serta kebudayaan yang berbeza? Walaupun sudah banyak cerita, gambar dan tapak kaki mereka dijumpai namun setakat ini belum ada bukti kukuh bahawa Bigfoot benar-benar wujud disebabkan tiada lagi penemuan tulang-tulang malah mayat mereka. 

Sehingga kini, masih tiada penemuan sebenar tentang makhluk itu menyebabkan fakta-fakta berkenaan Big Foot menjadi salah satu misteri dunia yang belum terungkap. Kajian dan pemburuan untuk membongkar misteri kewujudan Bigfoot masih giat diteruskan dari pelbagai pihak sehingga kini. Mungkin pada masa akan datang misteri ini akan terjawab ataupun Bigfoot akan terus kekal misteri sepanjang zaman.








3 ulasan: