Nama makhluk misteri Chupacabra telah diberikan oleh seorang lelaki bernama Silverio Perez. "Chupa" bermaksud penghisap/menghisap manakala "Cabra" bermaksud kambing. Ia diberi nama sedemikian disebabkan kebanyakan mangsanya adalah ternakan kambing pada awal kemunculannya. Chupacabra telah muncul di sekitar beberapa negara seperti Amerika Selatan, Puerto Rico, Mexico dan kemudiannya merebak ke beberapa negara lain. Laporan pertama yang membabitkan kes Chupacabra di Puerto Rico pada bulan Mac pada tahun 1995. Laporan itu menyebut lapan ekor kambing ditemui mati akibat kekeringan darah dalam badan seolah-olah disedut oleh "sesuatu". Di setiap bangkai kambing itu juga terdapat tiga lubang kecil namun ianya tidak berdarah.
Menurut saksi, Chupacabra dikatakan kelihatan seperti makhluk asing kecil, berdiri 3 hingga 5 kaki tinggi dan mempunyai sepasang kaki seperti kanggaru. Chupacabra berjalan tegak seperti manusia malah boleh melompat seperti kanggaru serta mempunyai kebolehan untuk terbang untuk jarak yang pendek. Ia mempunyai duri-duri tajam yang besar atau tanduk di sepanjang belakang badan mereka. Mata Chupacabra pula dikatakan sangat besar, bersinar dan berwarna merah.
Di bawah ini terdapat sebahagian laporan penemuan yang berkaitan Chupacabra.
Laporan Pertama
Julai 2004, seorang penternak di San Antonio, Texas melaporkan telah membunuh makhluk menyerupai anjing yang telah menyerang ternakannya. Dia telah menyebut makhluk tersebut sebagai “Elmendorf Beast”. Namun ujian DNA yang dilakukan Universiti California mengatakan bahawa makhluk tersebut adalah seekor Coyote (spesis serigala) yang mengalami penyakit kurap yang teruk. Di Coleman, Texas, seorang penternak bernama Reggie Lagow menangkap seekor haiwan yang menyerang ternakan ayamnya. Dia mengatakan bahawa haiwan tersebut seakan-akan gabungan anjing yang tidak berbulu, tikus dan kanggaru.
Laporan Kedua
April 2006, MosNews melaporkan Chupacabra muncul di Rusia untuk pertama kali. Laporan tersebut menyebut makhluk aneh telah menyerang ayam belanda dan menghisap darahnya sehingga kering. Tidak lama kemudian laporan berikutnya datang dari sebuah desa yang mengatakan sebanyak 30 ekor kambing biri-biri mati akibat yang sama.
Laporan Ketiga
Ogos 2006, Michelle O’Donnel dari Maine, Amerika melaporkan telah menemui seekor makhluk bertaring yang menakutkan mati di tepi jalan. Namun siasatan terhadap bangkai tersebut tidak dapat dikenalpasti kerana sebahagian bangkai tersebut dilanggar kereta. Setelah diambil gambar mereka meneliti haiwan tersebut tidak menyamai anjing atau serigala di kawasan itu.
Laporan Keempat
Mei 2007, laporan berita National Columbia menyebut lebih dari 300 ekor kambing biri-biri ditemui mati di daerah Boyoca. Kemungkinan besar ia dilakukan oleh Chupacabra.
Laporan Kelima
Ogos 2007, Phylis Canion menemui tiga bangkai makhluk di Cuero,Texas. Dia mengambil gambar lalu memotong salah satu kepala bangkai dan membekukannya lalu dihantar untuk ujian DNA. Ujian DNA tersebut mengatakan ia adalah Coyote yang dijangkiti kurap yang mengakibatkan kulit mereka berwarna kelabu, kehilangan semua bulu badan serta terserlah taring yang besar.
Laporan Keenam
Januari 2008, Chupacabra dilaporkan muncul di Capiz, Filipina. Beberapa penduduk di situ percaya Chupacabra telah membunuh lapan ekor ayam. Pemilik ayam tersebut mendakwa melihat seekor haiwan menyerupai anjing yang telah menyerang ternakan ayamnya.
Laporan Ketujuh
Ogos 2008, syerif bernama Brandon Riedel merekod seekor haiwan yang tidak dikenali di sepanjang jalan Cuero, Texas melalui kamera yang berada di dalam keretanya. Haiwan tersebut mempunyai saiz Coyote namun tidak mempunyai bulu. Ia juga memiliki muncung yang panjang, kaki depan kelihatan pendek dan kaki belakang yang panjang. Pihak atasan Brandon Riedel iaitu Jode Zavesky percaya bahawa kemungkinan ia adalah salah satu spesis Coyote yang telah dikenalpasti oleh para pengkaji Texas State University-San Marcos pada November 2007.
Seterusnya pelbagai lagi penemuan mengenai Chupacabra telah dilaporkan tahun demi tahun namun hasilnya tetap sama iaitu ianya seekor anjing atau Coyote dijangkiti kurap yang teruk. Baru-baru ini misteri mengenai Chupacabra telah terjawab apabila seorang ahli biologi, Barry O'Connor dari Universiti Of Michigan mengatakan Chupacabra disahkan sebagai seekor anjing yang dijangkiti kurap. Penyakit itu menyebabkan perubahan fizikal yang agak ketara seperti kehilangan bulu badan, kulit berwarna kelabu, gigi taring yang agak menonjol serta rupa yang agak menakutkan. Namun timbul keraguan di sini di mana saksi penemuan asal Chupacabra serta penemuan sehingga kini sangat berbeza dari segi bentuk fizikal, cara memakan mangsa dan beberapa perbezaan yang lain.
Selain itu terdapat pelbagai teori mengenai Chupacabra adakalanya tidak masuk akal antaranya Chupacabra dikaitkan dengan Gargoyle iaitu sebagai roh atau semangat jahat. Selain itu Chupacabra dikatakan terhasil daripada perubahan genetik setelah menghidu kebocoran bahan kimia sebuah makmal di Puerto Rico sekitar tahun 1990-an. Ada juga yang mendakwa Chupacabra adalah seekor kelawar raksasa malah Chupacabra dikatakan haiwan peliharaan makhluk asing yang dilepaskan di Bumi.
Mengikut kesimpulan di atas misteri Chupacabra masih belum lagi diselesaikan.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan