Kisah kali ini berkaitan Volkswagen kuning yang sering kita dengar mengganggu para pemandu malah telah mengakibatkan kemalangan. Volkswagen kuning ini mula mengganggu kenderaan di jalan raya sejak tahun 1956 tetapi ianya tidak kelihatan dengan kerap malah orang ramai masih belum menganggap ia sesuatu yang menakutkan. Kereta Volkswagen kuning yang dikatakan berhantu itu sering mengganggu perjalanan di sekitar lebuhraya Jelapang. Namun ada juga para saksi mendakwa Volkswagen kuning kelihatan di jalan lama Karak. Semenjak lebuhraya Utara Selatan dibina merentasi kawasan yang dinamakan Jelapang kisah kemunculan Volkswagen kuning semakin ketara dengan mengganggu kenderaan yang lalu lalang di situ.
Cara gangguan Volkswagen Kuning dikatakan muncul secara tiba-tiba dan sekiranya pemandu memotong kereta tersebut ia akan berada di hadapan secara mengejut. Selain itu Volkswagen kuning itu dipandu dengan perlahan dan menghalang pemandu di belakang lalu hilang sabar dan cuba memotong. Ketika memotong barulah para pemandu menyedari bahawa kereta Volkswagen kuning itu tiada pemandu. Ada juga kes di mana Volkswagen kuning itu menentang arus jalan dan cuba melanggari mereka.
Disebalik kemunculan Volkswagen kuning terdapat kisah terselindung yang telah berlaku. Kisah itu mengenai seorang isteri yang curang telah membunuh suaminya dengan kejam dan kemudian merampas kereta Volkswagen kuning milik suaminya. Roh si suami menyimpan rasa dendam yang membara untuk memiliki semula Volkswagen kuning tersebut. Jika benar Volkswagen kuning berhantu ini wujud dan pernah dilihat orang maka itu adalah jin bukannya roh si suami yang mati dibunuh.
Walaupun kisah pembunuhan si isteri terhadap suaminya agak meragukan namun kemunculan Volkswagen kuning tidak dapat dinafikan. Tidak kiralah ia berada di lebuhraya Jelapang atau Karak anda disarankan berhati-hati melaluinya pada waktu malam kerana mungkin ia masih lagi berlegar-legar mengganggu para pemandu atau mencari korban yang seterusnya.