Nuffnang Ads

Rabu, 20 April 2011

Misteri Di Queensland

Queensland terletak di timur Australia merupakan sebuah kawasan peranginan yang terkenal namun Queensland tersimpan pelbagai kisah seram dan misteri yang tersendiri. Kita mulakan kisah pertama ini pada pertengahan 1960-an di mana seorang ibu muda bersama dua anaknya menyewa sebuah rumah kedai di Fortitude Valley, Brisbane. 

Sejak beliau menetap di situ beliau seolah-olah merasakan ada "seseorang" berada di dalam rumah tersebut. Beliau sering terasa "seseorang" sedang memerhatikan beliau dan apabila ditoleh suatu lembaga kabur pantas menghilangkan diri. Selain itu bunyi-bunyi aneh selalu kedengaran di waktu malam seperti bunyi tapak kaki berjalan, menutup pintu bilik dan bunyi suara orang berbisik. Kemudian beliau telah memanggil seorang pengamal psikik dan mendapati "seorang wanita" dengan keadaan lesu terbaring di atas sebuah katil sambil berkata "Ppa.....ppaaa panggil Reuben....panggil Reubennnn." Setelah mengetahui perkara tersebut beliau terus meninggalkan rumah tersebut. Pada tahun 1986 seorang pemandu bas menyewa rumah tersebut bersama isteri dan kucingnya bernama Tibby. Tibby sering menjadi panik, matanya meliar dan lari lintang pukang setiap kali menuju ke bilik tidur. Manakala isterinya sering melihat lembaga perempuan berdiri di atas tangga memerhatinya. 

Pengamal psikik dipanggil semula dan menerangkan "perempuan" tersebut adalah Helen Brennan yang mati dalam rumah berkenaan pada 15 Oktober 1949 akibat dicekik oleh suaminya sendiri iaitu Reuben Wallace. Namun Reuben mati akibat sakit jantung sebelum dibawa ke muka pengadilan. Sejak itu "Helen" sering kelihatan mundar-mandir dalam rumah berkenaan.

Kisah kedua berlaku di Adelaide Billings Ward, Royal Children's Hospital Brisbane di mana semua kanak-kanak sedang tidur lena. Jururawat mengambil peluang berehat manakala seorang petugas lelaki sedang memerhati salah seorang jururawat mengisi air ke dalam buret. Lelaki tersebut seolah-olah pernah melihat wanita tersebut tapi gagal mengingatinya namun beliau pasti wanita itu bukan sepatutnya bertugas dalam wad berkenaan pada malam itu.

Beliau tidak menghiraukan semua itu dan menjalani tugasnya setiap hari seperti biasa sehinggalah pada suatu hari beliau terpandang potret di lobi wad. Beliau terkejut potret tersebut adalah Matron Billings yang mati berpuluh-puluh tahun dahulu memiliki wajah yang sama dengan jururawat yang dilihatnya pada malam itu.

Kakitangan dan pesakit turut melihat Matron Billings berjalan di dalam wad pada waktu malam menziarahi kanak-kanak. Ia dikatakan berdiri di sisi kanak-kanak dengan pandangan sayu sambil membelai rambut, memperbetulkan baju dan bantal mereka. Semasa hidup, Matron Billings sangat dihormati dan melayani semua kanak-kanak di dalam wad seperti anaknya sendiri seperti bermain, gembira dan menangis bersama.


Kisah ketiga berlaku di Cascade Garden di mana pengunjung dan pekerja di situ beberapa kali melihat bayangan seorang lelaki berjalan-jalan di dalam kebun tersebut. Sumber mengatakan kadang-kadang "lelaki" tersebut berdiri memerhatikan pokok-pokok, bangunan dan mundar mandir di sekitar air terjun buatan manusia. "Lelaki itu dipercayai Ned Harper pemilik asal tanah tersebut yang meninggal dunia pada tahun 1896. Kuburnya terletak di tengah-tengah Cascade Garden.

Kisah Keempat berlaku pada tahun 1991, seorang wanita di Tugun mendakwa keluarganya kerap dikunjungi lembaga aneh seperti orang tua. Lembaga tersebut berpakaian besar dan kerap duduk di kerusi malas ibunya. Sementara itu di Labrador penduduk sekitar terdengar salakan dan raungan anjing pada tengah malam. Bunyinya sangat menyeramkan dan apabila para penduduk cuba mencari tiada seekor pun anjing di situ. Menurut penduduk asal, ia adalah seekor anjing bernama Doberman yang dibunuh oleh para pendatang pada tahun 1960-an.
Begitulah antara kisah-kisah misteri dan mistik yang berlaku di Queensland, Australia. Semoga para pembaca terhibur. Selepas ini anda akan disajikan dengan arikel-artikel yang lebih hangat. Sekiranya anda ada cerita mistik yang menarik boleh hantar ke e-mail saya taufikrasip85@gmail.com.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan